Thursday, March 27, 2014
9:10 AM 0

Melentur Buluh: Didik Anak Cara Islam


Didiklah zuriat kita untuk mengenali Pencipta mereka.

Kita selalu mendengar kata-kata dari para ustaz, para ulama' terutamanya menyebut:
"Perkara asas dalam agama adalah mengenal Allah."
Pertama sekali, perkara yang wajib kita ajar kepada anak kita ialah kalimah syahadah. Dalam konteks ini, mengajar anak-anak kepada kalimah syahadah bukan hanya mengajar menutur atau secara lisan sahaja. Inilah yang berlaku kepada kebanyakkan ibu bapa apabila agama menuntut mereka mengajar anak-anak kepada kalimah syahadah. Sebenarnya, kita bukan sahaja mengajar mereka melafazkan kalimah syahadah malah, kita juga perlu memastikan mereka tahu apakah pengertian kalimah tersebut. Apakah yang dituntut oleh Allah SWT menerusi kalimah tersebut. Apakah perkara-perkara yang bertentangan dengan kalimah tersebut yang perlu dijauhi oleh mereka daripada melakukannya.


Menjadi tanggungjawab kita untuk memberitahu anak-anak kita secara istiqomah bahawa apabila mereka melafazkan kalimah tersebut mereka telah mengishtiharkan diri mereka beriman kepada Allah SWT. Maka, oleh itu mereka wajib mentaati Allah SWT pada setiap masa dalam seluruh aspek dalam kehidupan mereka. Pada masa yang sama, anak-anak perlu tahu bahawa mereka wajib menolak segala perkara yang bertentangan dengan kehendak Allah sama ada yang berupa agama selain daripa Islam, budaya, fahaman, ideologi, perundangan, fesyen dan sebagainya. Inilah sebenarnya tuntutan kalimah syahadah yang dapat kita hayati dari firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus selama-lamanya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Baqarah: 256)
Menurut Imam Sa'id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhakl apa yang dimaksudkan dengan simpulan yang teguh itu adalah kalimah "Lailahaillallah". Taghut pula maknanya 'segala yang menyesatkan manusia' sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.

Masya Allah. Lihatlah bagaimana Islam menyuruh kita mendidik anak-anak dengan menanam sifat keimanan di dalam diri mereka sejak dari awal lagi. Ini juga sebagaimana pepatah melayu yang berbunyi "melentur buluh biarlah dari rebungnya." Sungguh tepat sekali, jika dididik dari awal supaya anak-anak mengenali Pencipta mereka, sudah pasti lebih mudah jika dibanding apabila mereka sudah mula meningkat remaja.

0 comments:

Post a Comment