Tahukah Anda Rasulullah SAW Rindukan Kita?
Pernah pada suatu ketika Rasulullah SAW bersama-sama dengan para sahabat termasuklah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Ali dan yang lain.
Kemudian Baginda bertanya, "Wahai para sahabatku, kamu tahu siapakah hamba Allah yang paling mulia di sisi-Nya?"
Semua sahabat terdiam ketika itu, sehinggalah ada seorang daripada mereka yang berkata, "Para malaikat ya Rasulullah, merekalah yang paling mulia ya Rasulullah."
Rasulullah menjawab, "Ya, para malaikat memang mulia. Mereka dekat dengan Allah. Mereka selalu mengingati Allah. Tapi bukan mereka yang aku maksudkan."
Tiba-tiba seorang sahabat berkata, "Para Rasul ya Rasulullah, mesti merekalah yang paling mulai."
Nabi Muhammad SAW tersenyum dan berkata, "Ya, para Rasul memang mulia. Mereka adalah Pesuruh Allah." "Mana mungkin mereka tidak mulia..Tetapi yang aku maksudkan ini adalah yang lain."
Kemudian semua para sahabat terdiam. Mereka ketandusan idea memikirkan apa yang sedang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.
Sehinggalah seorang daripada para sahabat berkata, "Adakah kami para sahabat yang mulia itu ya Rasulullah?"
Baginda memandang muka para sahabat seorang demi seorang, Baginda merenung muka mereka dan tersenyum.
Lalu Baginda berkata, "Mana mungkin kalian tidak mulia. Sudah pasti kalian semua mulia. Kalian sentiasa bersama-sama dengan aku. Kalian bersama-samaku dalam perjuanganku. Tapi ada yang lebih mulia daripada kalian."
Para sahabat kesemuanya terdiam. Seolah-olah tiada apa lagi yang mereka mahu katakan.
Tiba-tiba Rasulullah SAW menundukkan wajahnya. Air mata mula mengalir di wajah Rasulullah. Baginda menangis di hadapan para sahabat.
Lalu para sahabat bertanya, "Kenapa engkau menangis ya Rasulullah?"
Rasulullah SAW mengangkat muka Baginda, kelihatan air mata mengalir di pipi Baginda sehingga ke dagu dan membasahi janggut Baginda.
Baginda pun berkata, "Ya, sahabatku! Kamu tahukah siapa yang paling mulia itu? Mereka adalah manusia yang lahir jauh setelah kewafatanku. Tetapi mereka sangat cinta kepada Allah dan mereka sangat merindui aku. Ya sahabatku, aku juga sangat merindui mereka. Merekalah...umati(umatku)."
Ketika itu Baginda menangis, air mata membasahi pipi Baginda. Sebaik sahaja mendengar semua itu, para sahabat turut menangis.
Wahai rakan-rakan semua, Rasulullah SAW rindukan kita. Rasulullah SAW cintakan kita. Adakah kita merindui Baginda? Adakah kita mencintai Baginda?
0 comments:
Post a Comment