Wednesday, March 26, 2014
9:00 AM 0

Pengemis Buta Yahudi Memeluk Islam Kerana Akhlak Rasulullah SAW


Di satu sudut di pasar kota Madinah ada seorang pengemis buta Yahudi pada setiap pagi yang akan mengharapkan belas kasihan daripada orang yang lalu-lalang. Dengan rasa belas kasihan ada yang menghulur sebaliknya ada juga yang langsung tidak mempedulikan pengemis itu.

“Wahai saudaraku! Usah kamu hampiri Muhammad. Dia sudah gila. Penipu. Tukang sihir. Jika kamu dekatkan diri pada dia, kamu akan terikut-ikut dengannya dan kamu akan menjadi sebagaimana dia,” 

Itulah laungan pengemis tersebut tatkala tangannya menadah-nadah mengharapkan belas orang yang berada di pasar.

Kata-kata menghina Rasulullah SAW itu tidak pernah lekang dari mulutnya dengan sentiasa memberi amaran kepada orang di pasar agar tidak terpengaruh dengan ajaran Rasulullah SAW.

Walaubagaimana pun, sudah menjadi rutin kepada Rasulullah SAW untuk ke pasar Madinah pada setiap pagi dan terus mendapatkan pengemis buta Yahudi itu lalu menyuapkan makanan ke mulutnya. Baginda memberi makan kepada pengemis tersebut dengan lembut, bersopan dan tidak berkata apa-apa. Apabila Baginda menyuapkan makanan, pengemis itu makan dengan begitu berselera dan langsung tidak bertanya siapa yang menyuapnya itu.

Rutin harian itu dilakukan Rasulullah SAW sehinggalah Baginda wafat. Selepas Baginda wafat, sahabat karib Baginda, Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah dilantik sebagai khalifah.

Ada pada suatu ketika, di mana Khalifah Ar-Rasyidin yang pertama itu berkunjung ke rumah anaknya, Siti Aisyah iaitu isteri Baginda Rasulullah SAW. Tiba di rumah Aisyah, Abu Bakar bertanya:

“Wahai anakku, apakah kebiasaan yang Rasulullah lakukan yang ayah belum lakukan lagi?”

Lalu Siti Aisyah menjawab:
“Ayahandaku, kesemua yang Rasulullah lakukan ayah telah lakukan melainkan satu perkara,”

Saidina Abu Bakar bertanya kembali:
“Apakah satu perkara yang belum ayah lakukan lagi itu wahai anakku?”

Aisyah menjawab dengan nada kasihan:
“Setiap pagi Rasulullah akan ke pasar Madinah dan membawa makanan untuk seorang pengemis buta Yahudi dan menyuapkan makanan kepada pengemis itu. Setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW, mungkin sudah tiada sesiapa lagi yang akan memberi makan kepada pengemis itu,”


“Wahai anakku, kamu sediakanlah makannan yang selalu dibawa oleh Rasulullah kepada pengemis itu, ayahanda akan memberi makan kepada pengemis itu sebagaimana yang Rasulullah lakukan pada setiap pagi.” ujar Saidina Abu Bakar ra kepada anaknya.

Keesokan harinya, Saidina Abu BAkar RA pergi ke pasar bersama-sama makanan yang sama seperti mana yang Rasulullah SAW suapkan kepada pengemis buta itu sebelum ini. Setelah Saidina Abu Bakar RA menemui pengemis tersebut, segera dia menghampirinya dan menyuapkan makanan kepada pengemis tersebut.

Tiba-tiba pengemis itu berkata:
“Hoii!!! Siapakah kamu? Berani kamu menyuapku?”

Pengemis buta itu mengherdik Saidina Abu Bakar ra. Ini kerana pengemis buta itu merasa begitu berbeza makanan disuapkan kepadanya kepadanya kali ini. Lalu Saidina Abu Bakar membalas:

“Akulah orang yang selalu menyuapmu setiap pagi,”

Raut wajah pengemis buta itu kelihatan begitu marah dan berkata:

“Bukan! Kamu bukan orang yang selalu menyuapku setiap pagi. Orang itu akan menyuapku dengan lembut dan bersopan. Orang itu akan menghaluskan makanan terlebih dahulu sebelum menyuapnya kepadaku. Namun kali ini aku dapat rasakan begitu susah untuk menelan makanan yang diberi,”

Jelas pengemis buta itu lagi sambil menolak tangan Abu Bakar RA yang masih memegang makanan yang hendak disuap kepada pengemis tersebut.

Dengan perasaan yang sebak Saidina Abu Bakar As-Siddiq berkata:

“Baiklah, aku mengaku. Ya, memang bukan aku orang yang biasa menyuapmu setiap pagi. Tetapi aku adalah sahabatnya. Aku menggantikan tempatnya,”

Jelas Saidina Abu Bakar ra sambil mengesat air matanya yang mula mengalir di mukanya.

Pengemis itu bertanya lagi:
“Kamu menggantikan tempatnya? Ke mana perginya orang itu?”

Saidina Abu Bakar RA menjelaskan kepada pengemis itu:
“Orang itu telah kembali ke rahmatullah, jadi aku menggantikan tempatnya. Orang itu ialah Muhammad Rasulullah.”

Pengemis itu bertanya kepada Abu Bakar RA seperti tidak percaya apa yang didengarinya:
“Dia Muhammad Rasulullah?”

Saidina Abu Bakar membalas:
“Mengapa kamu terkejut? Dia insan yang sangat mulia,”

Tiba-tiba pengemis itu menangis teresak-esak di sudut pasar kota Madinah tu.
Setelah sedikit reda, pengemis bertanya lagi:

“Adakah benar orang itu Muhammad Rasulullah?”

Terus Saidina Abu Bakar RA menjawab:
“Ya, benar. Adakah kamu tidak percaya?”

Dalam keadaan teresak-esak, pengemis itu berkata:
“Selama ini akulah yang menghinanya, akulah menfitnahnya namun dia sedikit pun tidak pernah memarahiku malah dia tetap juga menyuap makanan ke kepadaku dengan sopan dan lembut pada setiap pagi. Sekarang belum sempat aku memohon ampun kepadanya, aku telah kehilangannya,”

Saidina Abu Bakar menambah:
“Dia memang insan yang sangat mulia. Kamu tidak akan berjumpa manusia semulia itu lagi selepas ini kerana dia telah pun meninggalkan kita,”

Pengemis buta itu pun berkata:
“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,”

Daripada peristiwa itu, pengemis buta Yahudi itu telah memeluk Islam di hadapan Saidina Abu Bakar ra. Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW telah memikat jiwa pengemis itu untuk mengakui ke-Esaan Allah.

Subhanallah! Lihatlah bagaimana budi pekerti nabi kita. Bolehkah kita mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti ini saudara-saudari semua? Marilah kita tunjukkan kepada orang bukan Islam diluar sana bagaimana sebenarnya akhlak yang dituntut oleh Islam agar mereka dapat melihat kesucian agama yang kita anuti ini.

0 comments:

Post a Comment