Saturday, March 29, 2014
3:26 PM 1

Pelajar UIA Bermimpi Bertemu Rasulullah SAW


Kesayanganku, itulah maksud nama Syamimi yang diberi oleh ayahnya dengan iringan doa mudah-mudahan suatu hari nanti anaknya akan menjadi salah satu mutiara kesayangan Rasulullah SAW. Itulah harapan seorang ayah kepada anak sulungnya daripada 8 adik-beradik itu yang kini berusia 23 tahun.

Bagi memenuhi harapan ibu dan ayahnya yang ingin melihat ada anak-anak mereka menjadi hafiz dan hafizah, 3 tahun tempoh digunakannya untuk menjadikan beliau khutub khanah yang bergerak, 30 juzuk Kalamullah terpelihara di dalam hatinya. Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung untuk menjadi contoh kepada adik-adik yang lain juga menjadi faktor dia menghafal al-Quran. Beliau sempurna menghafal 30 juzuk di negeri kelahirannya dan sekarang ini merupakan pelajar dalam bidang Undang-undang Syariah di tahun 4 Universiti Islam Antarabangsa(UIA) Malaysia.
Syamimi diuji dengan sakit seperti ditusuk-tusuk dengan pisau di bahagian belakang di mana penyakitnya ini tidak diketahui puncanya semenjak tidak kurang dari satu tahun. Tidak cukup dengan itu, lututnya pula telah sakit tidak kurang daripada 8 tahun dan tidak sembuh-sembuh sejak itu. Lebih berat lagi untuk diceritakan, pernah dia muntah selepas makan dan segumpal rambut keluar dari kerongkongnya.

Kesan daripada sakitnya itu, selera makannya hilang, dia langsung tidak berdaya untuk berdiri apatah lagi untuk ke kuliah, dia susut lebih kurang 13 kg. Beliau hanya menggagahkan diri untuk mengambil air sembahyang 2 atau 3 kali sehari untuk solat 5 waktu. Penderitaannya hanya dia dan Tuhannya yang tahu.

Al-Quran dan tahajjud memenuhi jadual hariannya, itulah ikhtiar yang dilakukannya untuk mengurangkan gangguan yang secara konsisten menyakiti beliau kerana makhluk-mahkluk halus itu akan mula membuat onar terutama menjelang waktu Subuh, Zuhur dan Maghrib. Bukan tidak pernah, sudah banyak doktor-doktor pakar yang dijumpainya, tidak kurang ulama' yang mahir dalam perubatan Islam. Sehingga dia bertemu seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Pesan ustaznya itu, bacalah surah al-Baqarah setiap kali berasa sakit.

Akibat sakitnya itu, memang lama beliau tidak hadir ke kuliah. Sehinggalah pada suatu pagi, pagi Khamis, lebih kurang kira-kira jam 4.30 pagi, beliau mengguna sepenuh kudratnya untuk bangun menyembah Tuhannya. Beliau ke bilik air air untuk mengambil wudhu', sebaik sahaja selesai seolah ada tolakan keras dari belakang beliau dan menyebabkan beliau tersungkur rebah.

Pada saat itu, tiada lagi daya untuknya berdiri, lalu mengambil alternatif untuk merangkak ke bilik. Apabila berjaya merangkak ke bilik, beliau ketuk pintu dan rebah di depan bilik tersebut. Dalam keadaan yang amat sakit itu, terus terkeluar niat di dalam hatinya,

"Ya, Allah sekiranya kematian itu adalah lebih baik untukku, aku redha, tapi sekiranya Engkau mahu aku terus hidup, aku ingin dengar kata-kata semangat dari Kekasih-Mu sendiri." 

Kemudian beliau pengsan. Rakan-rakan sebiliknya mengangkat Syamimi ke dalam kamarnya dan di baringkan di kamarnya. Pada saat itu, teman-temannya mula bertukar-tukar pesanan ringkas kepada teman-teman yg lain supaya datang untuk membaca surah Yasin kerana Syamimi pada ketika itu nampak sungguh nazak. Malah teman-temannya sudah sedia ada nombor-nombor ahli keluarga Syamimi utk dihubungi andainya ada apa-apa berlaku dengan izin Allah.

Lebih kurang pada pukul 11 pagi itulah, sedang beliau tertidur dengan tenang pada waktu 'qoilullah', beliau bermimpi di mana beliau sedang terbaring dengan mengenakan telekung dan tangannya terqiam seperti dalam solat di suatu tempat yang tidak diketahuinya yang sangat indah. Syamimi terbaring bersebelahan mimbar dan kelihatan beberapa tiang di situ, agak banyak bilangan tiang itu.

Kemudian, dengan tiba-tiba datang seorang Hamba Allah dengan wajah yang bercahaya dari arah depan dan berdiri hampir sekali, lebih kurang 2 meter dari Syamimi. Amat sukar untuk digambarkan betapa indahnya wajah Hamba Allah tersebut. Syamimi tertanya-tanya, siapakah Hamba Allah ini? cantik sekali kejadiannya dan hatinya berasa amat tenang selepas melihat wajahnya. Dia dapat rasakan bahawa segala kesengsaraan yang ditanggungnya selama ini hilang begitu sahaja.

Kemudian, Hamba Allah itu berkata,
"Assalamualaikum, ana Rasulullah."
Subhanallah!! Baginda Rasulullah SAW rupanya! Baginda memakai jubah putih dan kain serban berwarna hijau di atas bahu Baginda Rasulullah SAW. Syamimi nampak dengan jelas mata Baginda, janggut Baginda, rambut Baginda, kain serban di atas bahu Baginda dan tubuh Baginda. Kemudian Nabi katakan “Enti fil masjidi” (kamu sekarang berada di masjidku, Masjid Nabawi). Allahuakbar!

Kemudiannya Baginda Rasulullah SAW berkata: QalAllahuta’ ala;”InnaAllahama’ assobirin” (sesungguhnya Allah bersama orang-orang yg sabar).

Pada saat suara Kekasih Allah mengalunkan ayat al-Quran, terasa bergema suara merdu Rasulullah di segenap alam. Sememangnya Rasulullah sebaik-baik kejadian dan diciptakan dengan sempurna dari hujung rambut hingga hujung kaki. Baginda Rasulullah SAW katakan (dalam bahasa arab, terjemahannya):

“Ya Syamimi, dengan berkat kesabaran enti, bersama-sama sakit yg enti tanggung selama ini, dan dengan berkat Al-Quran yang enti pelihara di dalam hati, maka Allah SWT bukakan hijab untuk enti nampak ana.”

Ketika Rasulullah SAW menyebut, "Ya Syamimi". Terlintas di hatinya, “Ya Allah.Baginda kenal ummatnya!”. Ketika itu, beliau dapat merasakan baiknya Allah, memberikan nikmat yang amat bernilai ini kepada dirinya.

Kemudian Rasulullah bersabda lagi:
“Sampaikan salamku buat sahabat-sahabat seperjuangan Islam. InsyaAllah, kita semua akan berjumpa nanti.” Rasulullah SAW kemudian melafazkan: “Ummati.. Ummati.. Ummati..” dan beliau nampak jelas Rasulullah SAW menangis ketika itu. Beberapa titisan air mata Baginda mengalir untuk ummat Baginda! Kemudian Baginda Rasulullah SAW melangkah pergi.

Syamimi merintih, “Jangan pergi Ya Rasulullah!!” namun Baginda terus melangkah pergi. Subhanallah!! Walaupun kita tak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW yg mulia, Baginda kenal dan sentiasa ingat akan ummatnya. Persoalan yang timbul adalah, Syamimi sendiri tidak begitu pasti, sama ada Baginda Rasulullah SAW menangis kerana rindu kepada ummatnya, atau Baginda sedih dengan ummat akhir zaman ini?

Kemudian Syamimi tersedar daripada mimpi yang diidamkan oleh semua pencinta Rasulullah SAW itu, kelihatan teman-temannya yang mengelilinginya. Teman-temannya mendengar rayuannya ketika tidur, “Jangan pergi Ya Rasululah” Terus, Syamimi menceritakan kepada teman-temannya tentang mimpinya sekaligus menyampaikan salam Rasulullah buat ummat Baginda. Rakan-rakannya yang mendengar cerita tersebut menangis lantaran rindu kepada Baginda Rasulullah SAW makin membuak-buak.

"Alhamdulillah" itulah kata yang tertinggi yang boleh dilafazkan Syamimi bagi merafa'kan rasa syukurnya kepada Allah SWT dengan nikmat yang amat besar diberi Allah SWT kepadanya. Syamimi merasa dirinya tidak layak untuk menerima nikmat yang sebegitu besar dengan ujian yang hanya sedikit jika dibandingkan dengan orang lain yang lebih berat diuji oleh Allah SWT. Sekiranya ada kalimah pujian yang lebih tinggi dari "Alhamdulillah", pasti akan dilafazkan Syamimi bagai mensyukuri nikmat dari Allah Yang Maha Pemurah. Rahmat Allah mula menular di dalam dirinya, dia bertekad tidak akan merintih lagi dengan ujian yang menimpanya itu.

Selesai sahaja solat Zuhur, rasa sakit yangg ditanggungnya makin kuat. Belum pernah Syamimi merasakan sakit yang sebegitu rupa sebelum ini. Syamimi merasa seluruh badannya begitu panas dan seluruh tubuhnya seperti ditikam-tikam dari setiap arah. Walaubagaimana pun, Syamimi memujuk dirinya agar tidak menangis lagi kali ini walaupun sakitnya itu semakin perit. “Apalah sangat sakit yang aku tanggung ini jika dibandingkan nikmat yang Allah telah kurniakan kepadaku untuk bertemu Kekasih-Nya.” Itulah pujukkan Syamimi kepada dirinya untuk tidak menangis dengan rasa sakitnya itu.

Selepas itu Syamimi melenakan dirinya. Beliau berasa berada di suatu tempat yang tinggi, tempat yang biasa hadir sepanjang beliau menerima gangguan. Ujar beliau, “Ya Allah, apa lagi yg hendak Engkau kurniakan kepada hamba-Mu yang hina ini, aku amat malu dengan Mu ya Allah.” Tiba-tiba, datang empat orang Hamba Allah yang berpakaian serba hijau. Salah seorang bekata;
“Assalamualaikum Ya Syamimi. Rasulullah SAW sampaikan salam bagimu. Rasulullah telah mengutus kami, Nahnu Khulafa’ ar-Rasyidin. Ana Abu Bakar, ini Ummar Al-Khattab, Uthman bin ‘affan dan Ali.”
Subhanallah! Saidina Abu Bakar memperkenal dirinya dan ketiga-tiga sahabat yang mulia yang kenali kenali sebagai Khalifah ar-Rasyidin. Syamimi nampak sendiri, Saidina Abu Bakar yg amat lembut perwatakannya, Saidina Ummar dgn wajah tegasnya, Saidina Uthman yang cantik sekali dan Saidina ‘Ali yg agak kecil orangnya. Khalifah ar-Rasyidin berkata, “Kami diutuskan oleh Rasulullah utk membantu enti.” Kemudian mereka membacakan ayat 102 surah Al-Baqarah yg bermaksud:

“Dan mereka mengikuti apa yg dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman. Sulaiman itu tidak kafir tetapi syaitan-syaitan itulah yg kafir, mereka mengajarkan sihir pada manusia dan apa yg diturunkan pada 2 malaikat di negeri Babylon iaitu Harut dan Marut. Padahal keduanya tidak mengajarkan sesuatu kepada seseorang sebelum mengatakan ’sesungguhnya kami hanyalah cubaan (bagimu) sebab itu janganlah kafir.’ Maka mereka mempelajari dari keduanya (malaikat itu) apa yang (dapat) memisahkan antara seorang (suami) dengan isterinya. Mereka tidak akan dapat mencelakakan seseorang dgn sihirnya kecuali dengan izin Allah. Mereka mempelajari sesuatu yang mencelakakan, dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan sungguh, mereka sudah tahu, barang siapa membeli (menggunakan sihir) itu, nescaya tidak akan mendapat keuntungan di akhirat. Dan sungguh, sangatlah buruk perbuatan mereka yang menjual dirinya dgn sihir, sekiranya mereka mengetahuinya.” [al-Baqarah;102]

Selesai membaca ayat itu, para Khalifah ar-Rasyidin menghembus pada makhluk-makhluk yang sedang mengganggu beliau dan mereka semua hancur terbakar. Syamimi dapat rasakan seolah-olah dia telah ditukar dengan tubuh yang baru, segala sakit yang ditanggunnya bertahun-tahun hilang. Kemudian Saidina Abu Bakar berkata:
“Inilah ganjaran besar dari Allah buat orang-orang yang sabar.” Kemudian, para sahabat Rasulullah yang mulia ini pun pergi meninggalkannya.

Selesai mimpi indah kali kedua itu, Syamimi bangun dari lenanya dan terus duduk. Teman-temannya mula hairan, melihat beliau dapat bangun dan duduk dengan mudah. Kemudian teman-temannya menyuruh beliau bangun berdiri  lagi, dan dengan mudah Syamimi melakukannya malah berjalan di sekitar bilik. “Alhamdulillah, Ya Allah, penyakit ana dah sembuh.” Semua temannya yang berada di situ menangis kegembiraan. Segera Syamimi ke bilik air dan mengambil wudhu’. Lalu beliau sujud syukur pada Allah SWT dengan tiada lagi kesakitan yang ditanggungnya.
“Ya Allah, kiranya di beri tempoh sujud 100 tahun pun belum dapat diriku menjadi hamba-Mu yg bersyukur atas nikmat yg telah Engkau berikan.”

Syamimi berpesan,
“Adik-adik, wajarlah para sahabat Rasulullah yang mulia sanggup bermatian dalam mempertahankan Baginda. Akak yang dikurniakan nikmat melihat Rasulullah SAW tidak lebih dari 5 minit sudah rasa tidak mahu berpisah dengan Baginda. Kalau boleh, nak duduk je di bilik untuk beribadah pada Allah dan mengenang wajah Baginda yang mulia. Tapi memandangkan banyak lagi tanggungjawab kita atas muka bumi Allah ini, maka hidup mesti diteruskan. Sekarang ini hati akak sungguh tenang. Kalau boleh, akak teringin sangat nak pinjamkan hati ni walau hanya sesaat agar adik-adik dapat merasakan betapa indahnya hati ini selepas dikurniakan nikmat terindah itu. Tapi itu tak mungkin kan, mungkin ini bahagian akak, bahagian kalian? Hanya Allah SWT yang tahu. Akhir sekali, akak ingin memesan kepada adik-adik, tak rugi kita bersabar.”
Syamimi


"Keperibadiannya indah. Cerminan al-Quran"- ‘Aisyah ra.

Pernah suatu ketika Rasulullah berkumpul di dalam satu majlis bersama para sahabat. Tiba-tiba bergenang air mata baginda s.a.w. Para sahabat gelisah melihat sesuatu yang tidak mereka senangi di wajah Rasulullah saw. Bila ditanya oleh Saidina Abu Bakar ra, baginda mengatakan bahawa terlalu merindui ikhwannya.. Saidina Abu Bakar sekali lagi bertanya Rasulullah saw, “Bukankah kami ini ikhwanmu?” Rasulullah menjawab, “Tidak, kamu semua adalah sahabatku. Ikhwanku adalah umatku yang belum pernah melihat aku tetapi mereka beriman dan sangat mencintaiku. Aku sangat rindu bertemu dengan mereka.”

(Lanjutan di sini: Tahukah Anda Rasulullah SAW Rindukan Kita?)

"Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat- Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya." [al-Ahzab:56]

"Berkata Abu Salamah, “Telah berkata Abu Qatadah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq). Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim."

1 comments:

  1. allahuakbar...bestnya dpt berjumpa Rasulullah :)

    ReplyDelete