Friday, March 28, 2014
10:40 AM 1

Kaum-kaum Yang Allah Telah Binasakan


Di dalam al-Quran terdapat banyak kisah-kisah nabi terdahulu yang Allah ceritakan kepada umat nabi Muhammad agar kita mengambil pengajaran daripadanya. Pelbagai cerita kaum-kaum terdahulu yang telah Allah SWT telah binasakan kerana mereka mengingkari dan menentang pesuruh Allah yang telah diutuskan kepada mereka. Mari kita lihat beberapa kaum yang telah Allah binasakan.

1) Kaum Luth
Berkenaan kaum Luth, mereka amat dikenali dengan kaum yang mengamalkan homoseksual dan lesbian. Walaupun mereka telah diutuskan nabi Luth AS untuk memberi peringatan kepada mereka, namun mereka ingkar. Lalu Allah SWT meterbalikkan bumi mereka akibat dosa mereka itu. Pada hari ini, bumi tersebut telah menjadi Laut Mati do Jordan.

"Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?" [an-Naml:54]

2) Kaum Thamud

Kaum Thamud telah diutuskan nabi Soleh AS. Untuk membuktikan kuasa Allah, nabi Soleh dikurniakan mukjizat seekor unta betina yang keluar dari celah batu. Walaubagaimana pun, kaum Thamud telah menderhaka dan mereka membunuh unta tersebut. Lalu Allah binasakan mereka dengan halilintar yang kuat.

"(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Thamud" [Hud:68]

3) Kaum 'Ad

Allah SWT telah mengutuskan nabi Hud AS untuk kaum 'Ad. Namun, mereka telah mendustakan kenabian nabi Hud. Lalu Allah timpakan bala bancana kepada mereka berupa angin kencang dan guruh yang kuat sehingga mereka tertimbun dengan pasir dan binasa.

"Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang membinasakan kaum "Aad" yang pertama (kaum Nabi Hud), -Dan kaum "Thamud" (kaum Nabi Soleh). Maka tidak ada seorangpun (dari kedua-dua kaum itu) yang dibiarkan hidup." [an-Najm:50-51]

4) Kaum Nuh
Hanya 80 orang sahaja yang beriman kepada Allah selepas nabi Nuh AS berdakwah selama 950 tahun. Kaumnya telah mendustakan nabi Nuh AS. Lalu Allah binasakan dengan banjir yang besar sehingga tenggelam seluruh bumi ketika itu.

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama 950 puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka). Maka dengan itu Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya yang turut bersama dalam bahtera, dan Kami jadikan bahtera itu satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami dan memberi pengajaran insaf) kepada sekalian makhluk." [al-'Ankabut:14-15]
5) Firaun
Mayat Firaun
Firaun amat dikenali dengan raja yang zalim kepada Bani Israil. Mereka telah diutuskan nabi Musa dan Harun kepada mereka untuk memberi peringatan kepada mereka.  Namun Firaun tetap ingkar malah mengaku dirinya sebagai tuhan. Lalu Allah tewaskan Firaun di laut merah dan mayatnya diselamat di mana kita boleh lihat di muzium mumia di Mesir sebagai bukti kebenaran al-Quran.

"Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" [Yunus:92]

1 comments: