Tuesday, March 25, 2014
6:49 PM 0

Kisah Rasulullah SAW dan Buah Limau


Ada di mana pada suatu ketika Baginda Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat dan datangi seorang wanita kafir. Wanita tersebut datang kepada Rasulullah SAW dan memberi buah limau kepada Baginda. Buah limau itu amat elok dan sangat cantik keadaannya. Siapa sahaja yang terlihat buah tersebut pasti terliur.

Baginda Rasulullah SAW terus memakan buah limau tersebut seulas demi seulas. Setiap ulas Baginda makan dengan tersenyum kenikmatan. Kebiasaannya sudah menjadi amalan Rasulullah SAW untuk berkongsi sebahagian makanannya kepada para sahabat, namun kali ini baginda tidak melakukannya. Baginda terus memakan seulas demi  seulas buah limau tersebut dengan tersenyum.

Selepas Baginda Rasulullah SAW selesai memakan buah limau tersebut, wanita kafir tersebut beredar dengan ucapan terima kasih daripada Rasulullah SAW. Para sahabat begitu hairan dengan sikap Rasulullah SAW pada ketika itu, sehinggalah ada sahabat yang bertanya kepada Rasulullah SAW. Lalu Baginda Rasulullah SAW menjelaskan:

"Tahukah kalian ketika kali pertama aku merasa buah limau tersebut begitu masam rasanya. Kiranya kalian turut makan bersama, aku bimbang jika ada di antara kalian akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Aku bimbang hatinya akan tersinggung, sebab itulah aku habiskan kesemuanya."

Subhanallah! Begitu indahnya akhlak Baginda Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecilkan pemberian seseorang walaupun pemberian tersebut tidak elok serta daripada orang bukan Islam.

Kesudahannya, wanita kafir tersebut pulang dengan hati kecewa.


Mungkin anda tertanya-tanya mengapa wanita kafir tersebut pulang dengan hati kecewa. Ya, sebenarnya wanita tersebut datang dengan tujuan ingin mempermainkan Rasulullah SAW dan para sahabat dengan limau yang masam itu. Namun, rancangannya tersebut digagalkan dengan akhlak Rasulullah SAW yang teramat mulia itu.

0 comments:

Post a Comment