Saturday, April 12, 2014
12:01 AM 0

Orang Islam Boleh Warnakan Rambut Kalau...

Adakah Islam membenarkan penganutnya mewarnakan rambut?

Sebenarnya, mewarnakan rambut turut dikategorikan sebagai salah satu bentuk menghiaskan diri. Di dalam konteks mewarnakan rambut, jelas dalam hadis mengatakan bahawa rambut tidak harus diwarnakan dengan warna hitam. Oleh itu, menerusi nas hadis tersebut, jika rambut kita telah berubah warna seperti memutih atau beruban, maka kita tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam sebaliknya boleh diwarnakan dengan warna lain.

Walaubagaimana pun, dalam mewarnakan rambut yang beruban tadi, sebaiknya kita perlu mengelakkan tasyabbuh(peniruan) daripada mewarnakan rambut dengan warna yang terlalu pelik. Sebagai contoh, di bahagian hadapan diwarnakan dengan warna hijau, di bahagian belakang dengan warna merah, di bahagian sebelah kanan dengan warna biru begitulah seterusnya, maka perkara tersebut adalah tidak diharuskan.

Jadi warna apakah yang elok untuk mewarnakan warbut yang memutih? Seeloknya menggunakan warna inai yang membuat rambut berwarna koko dan kemerahan. Jadi ia tidaklah terlalu jauh bezanya dengan warna asal rambut iaitu hitam.

Agama Islam merupakan agama yang fleksibel. Ada juga masanya dibolehkan penggunaan warna hitam untuk mewarnakan rambut. Antara keadaannya ialah ketika peperangan jihad fisabilillah. Jadi mewarnakan rambut dengan warna hitam dibolehkan bagi menunjukkan kepada musuh bahawa anggota tentera masih muda dan bertenaga.

Selain itu, penggunaan warna hitam untuk mewarnakan rambut juga diharuskan jika isteri yang ingin memikat suami dan memastikan hubungan kasih sayang berkekalan. Jadi dalam kes ini, isteri diharuskan mewarnakan rambut yang memutih dengan warna hitam.

Dalam konteks bahan pewarna rambut, dinasihat para muslimin dan muslimah semua agar membeli pewarna yang telap air. Hal ini demikian kerana, rambut merupakan salah satu anggota wudhu', jika tidak sempurna wudhu' maka tidak sempurnalah solat kita, sedangkan solatlah amalan yang pertama yang akan dihisab nanti. Jangan hanya kerana mewarnakan rambut untuk kecantikan, segala amal ibadah kita tidak diterima.

0 comments:

Post a Comment