Setiap persoalan semestinya ada jawapan. Setiap yang berlaku pasti ada sebab dan akibatnya. Setiap misteri pasti ada penyelesaian bagi merungkainya. Akan tetapi terdapat juga misteri yang sehingga ke hari ini menjadi tanda tanya kepada segenap penjuru masyarakat di dunia. Pelbagai teori digunakan ditambah pula dengan kecanggihan sains dan teknologi telah digunakan untuk menyelesaikan misteri ini namun hanyalah jalan buntu yang ditemui bukannya jawapan yang dicari. Inilah antara tiga misteri yang berjaya menggemparkan dunia suatu ketika dahulu akan tetapi masih belum ditemui teori yang sebenar bagi merungkai misteri tersebut.
DB Cooper
Sehingga ke hari ini tiada siapa pun mengetahui identiti sebenar lelaki misteri ini yang hanya mahu dikenali sebagai DB Cooper. DB Cooper berjaya menggemparkan seluruh Amerika pada 24 November 1971 apabila terlibat dengan jenayah berprofil tinggi sehingga membuatkan dia diburu oleh polis di serata dunia. Cooper dikatakan berseorangan diri merampas Boeing 727 bersama 36 penumpang dengan mengugut akan mengebom pesawat tersebut menggunakan bagasi yang dikatakannya mengandungi bom. Dia membuat keputusan untuk melompat keluar dari pesawat menggunakan payung terjun selepas berjaya memperolehi $200,000 dalam keadaan cuaca di luar yang sangat buruk. Dia tidak pernah ditemui selepas itu walaupun pencarian tetap diteruskan bertahun-tahun lamanya.
The Loch Ness Monster
Raksasa Loch Ness ialah makhluk mitos yang dikatakan mendiami Tasik Ness di tanah tinggi Scotland. Makhluk ini dikatakan telah wujud lebih 12,000 tahun yang lalu namun masih tiada bukti kewujudan sebenar makhluk bersaiz gergasi ini. Terdapat banyak gambar haiwan serta video rakaman sebenar telah diambil di sekitar Tasik Ness untuk disiasat apa sebenarnya yang terjadi dan para pengkaji mendapati mungkin makhluk ini adalah ular laut atau keturunan dinosaur. Akan tetapi hingga kini masih ada yang mendakwa ia masih wujud dan berenang di bawah air.
Stonehenge
Susunan blok-blok batu besar dari zaman Neolitik ini terus menerus menjadi misteri di muka bumi ini. Stonehenge yang terletak di Wiltshire, England ini menarik minat para pengkaji sejarah mengenai kebolehan orang-orang zaman dahulu kala menyusun blok-blok batu bersaiz gergasi itu tanpa bantuan teknologi. Stonehenge terdiri daripada bulatan batu yang mengandungi 17 bongkah batu menegak seberat sehingga 45 tan. Bulatan batu itu ditutup dengan enam batu melintang yang didirikan menghala ke arah matahari terbit.
0 comments:
Post a Comment